Penduduk Nilai bakal terima hospital baharu

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata bahawa sebuah hospital baharu bakal dibina di Bandar Enstek, Nilai.
Pembinaan hospital tersebut adalah bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk daerah Seremban serta menyuraikan kesesakan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.
“keputusan untuk membina hospital baharu itu dicapai, susulan semakan semula hala tuju pembinaan Hospital Tuanku Ja’afar 2 (HTJ2) di Rasah oleh Kementerian Kesihatan (KKM), serta hasil perbincangan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun pada 16 Jun lepas
“Kerajaan Negeri juga telah mengenal pasti dua bidang tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan berkeluasan 50 ekar (20 hektar), di kawasan tersebut.
“Oleh itu, KKM akan mengadakan lawatan di kedua-dua tapak tersebut dalam masa terdekat, bagi mengenal pasti tapak yang paling sesuai untuk dibina hospital baharu sebelum permohonan tukar guna tanah dikemukakan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).
“Seterusnya, Menteri Besar juga bersetuju supaya permohonan pemberi milikan tanah Rizab Persekutuan di Lot 2406 dan Lot 1890, Bandar Seremban seluas 36.748 ekar (kira-kira 14 hektar), diteruskan bagi dimanfaatkan untuk pembangunan projek-projek fasiliti kesihatan yang bersesuaian pada masa hadapan, seperti pembinaan blok tambahan untuk HTJ sedia ada dan pembinaan Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan (COE),” katanya.



