Negeri Sembilan tempat ketiga dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen Sekolah Rendah 2026

SEREMBAN: Kontinjen Bahas Ala Parlimen Sekolah Rendah Negeri Sembilan berjaya mengharumkan nama negeri apabila meraih tempat ketiga keseluruhan pada Pertandingan Bahas Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di Terengganu dari 29 Jun hingga 2 Julai lalu.
Pertandingan yang menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh negara itu menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pembahas muda bagi merebut gelaran terbaik di peringkat kebangsaan.
Selain kejayaan meraih tempat ketiga keseluruhan, wakil Negeri Sembilan, Nur Dhia Athirah Noor Irawan Azlan, turut mencipta kecemerlangan apabila tersenarai sebagai 10 Pembahas Terbaik Peringkat Akhir, sekali gus membuktikan keupayaan dan bakat murid negeri ini dalam bidang pengucapan awam.
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid (UPBM), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Ezaq Johan Mohammad, atas kesudian hadir memberikan sokongan dan semangat kepada kontinjen Negeri Sembilan sepanjang pertandingan berlangsung.
Kejayaan ini merupakan hasil usaha bersepadu semua pihak termasuk murid, guru pembimbing, jurulatih, ibu bapa dan seluruh warga pendidikan yang sentiasa komited dalam memastikan kontinjen Negeri Sembilan mencapai prestasi cemerlang di pentas kebangsaan.
Diharapkan pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam melahirkan murid yang berfikiran kritis, berkeyakinan tinggi dan berwibawa dalam seni perbahasan serta pengucapan awam, sekali gus mengharumkan nama Negeri Sembilan pada masa hadapan.
Syabas dan tahniah kepada seluruh Kontinjen Bahas Ala Parlimen Sekolah Rendah Negeri Sembilan atas kejayaan yang membanggakan ini.




