Berita

Negeri Sembilan Salur RM178,000 Insentif Kepada Atlet Sukan SEA dan ASEAN Para Games 2026

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM178,000 sebagai insentif kemenangan kepada atlet negeri yang berjaya meraih pingat pada Sukan SEA 2025 dan ASEAN Para Games 2026 yang berlangsung di Thailand baru-baru ini.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, insentif tersebut melibatkan 30 atlet sukan dan empat atlet para yang telah mengharumkan nama negeri serta negara di pentas antarabangsa.

“Di sebalik setiap pingat, ada kisah perjuangan yang tidak semua orang nampak.

“Ada atlet yang berlatih ketika orang lain berehat, ada yang menahan kesakitan demi meneruskan perjuangan dan ada keluarga yang sanggup berkorban masa serta tenaga demi memastikan impian anak mereka tercapai,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Atlet Pemenang Pingat Temsya Suka SEA Ke 33, Thailand Dan Penyampaian Dana Bantuan Pentadbiran Kepada Persatuan Sukan Negeri Tahun 2026.

Kerajaan negeri juga melihat pembangunan sukan sebagai pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi muda yang mempunyai keyakinan diri, ketahanan mental dan daya tahan tinggi menghadapi cabaran kehidupan.
Oleh demikian itu, kerajaan negeri turut menyalurkan Dana Bantuan Pentadbiran berjumlah RM99,000 kepada 48 persatuan sukan negeri bagi tahun 2026.

“Bantuan tersebut bertujuan memperkukuh pengurusan serta pembangunan sukan negeri agar lebih profesional, strategik dan berdaya saing.

“Tahun 2026 bakal menjadi medan penting buat Negeri Sembilan apabila kontinjen negeri akan menyertai SUKMA 2026 dan Para SUKMA 2026 di Selangor.

“Saya mahu kontinjen Negeri Sembilan hadir dengan semangat untuk bersaing, berjuang dan mencipta sejarah baharu,” katanya.

Ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Sembilan dalam memperkasakan pembangunan sukan secara menyeluruh, bukan sahaja menerusi penghargaan kepada atlet berprestasi tinggi, malah melalui sokongan berterusan kepada persatuan sukan negeri sebagai persediaan menghadapi cabaran lebih besar pada temasya SUKMA dan Para SUKMA 2026.

Show More

Related Articles

Back to top button