Tiada Gangguan Elaun Atlet Walaupun Isu Asia Barat – Irfan Shamsuddin
SEREMBAN: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin memaklumkan bahawa tiada sebarang gangguan terhadap persiapan latihan dan kebajikan atlet termasuk aspek elaun meskipun terdapat persoalan berkaitan situasi luar negara khususnya konflik di Asia Barat.
Menurut Irfan, keadaan ketika ini kekal stabil dengan semua bentuk sokongan termasuk daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN) berjalan seperti biasa sekali gus membolehkan atlet memberi tumpuan penuh terhadap latihan dan kejohanan.
“Semua okay, tiada gangguan. Elaun pun berjalan seperti biasa. MSN dan persatuan banyak beri sokongan, jadi kami boleh fokus latihan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif Atlet Pemenang Pingat Sukan Sea dan Para Asean 2026 hari ini.
Manakala atlet penembak muda negara, Gan Chen Jie turut memaklumkan persiapan beliau berada pada tahap baik menjelang kejohanan Piala Dunia di Jerman Sabtu ini dan akan berlepas ke negara itu bagi menyertai kejohanan berkenaan.
“Saya akan terbang ke Jerman Sabtu ini untuk kejohanan Piala Dunia. Persiapan setakat ini semua berjalan baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Irfan turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sembilan atas insentif kemenangan yang disalurkan kepada atlet negeri yang berjaya di pentas Sukan SEA 2025 dan ASEAN Para Games 2026, yang disifatkannya sebagai pembakar semangat kepada atlet untuk terus meningkatkan prestasi.
Dalam pada itu, Irfan Shamsuddin dan Chen Jie masing-masing merupakan penerima insentif tertinggi sebanyak RM17,000 setiap seorang daripada Kerajaan Negeri Sembilan sebagai tanda penghargaan atas pencapaian mereka ke pentas antarabangsa.



