Oracle akan bantu tingkatkan ekonomi digital negara

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan hormat Naib Presiden Eksekutif Jepun dan Asia Pasifik bagi Oracle Corporation (Oracle), Garrett Ilg serta delegasinya.
Anwar berkata, Oracle adalah syarikat teknologi pengkomputeran utama dunia yang pada Oktober tahun lalu mengumumkan rancangan untuk melabur lebih daripada AS$6.5 bilion untuk membuka rantau awan awam di negara ini.
“Pelaburan ini merangkumi lebih daripada 150 infrastruktur dan perkhidmatan Perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS) yang akan membantu meningkatkan ekonomi digital negara serta memacu inovasi yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI).
“Perbincangan kami menyentuh potensi perkhidmatan-perkhidmatan yang dipacu AI termasuk yang disediakan oleh Oracle, malah saya bangkitkan kepentingan pengukuhan ekosistem bakat dan inovasi negara, termasuklah langkah-langkah bagi memupuk tenaga kerja mahir dengan kemahiran digital yang berkaitan dan keterangkuman digital.
“Ketika dunia berhadapan dengan ketidaktentuan tercetus dari perang tarif, Malaysia amat menghargai komitmen dan usaha merealisasikan pelaburan yang telah dirancang oleh pelabur-pelabur termasuk daripada Amerika Syarikat,” kata Anwar.