Kualiti air Sungai Gemencheh normal: Veerapan

KUALA PILAH: Berhubung aduan orang ramai berkenaan air Sungai Gemencheh, Kuala Pilah berwarna hitam pada 16 Mac 2025, maka pasukan penyiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan Cawangan Kuala Pilah telah menjalankan siasatan pada 17 Mac 2025 pada jam lebih kurang 2.00 petang.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam berkata, hasil siasatan di lokasi punca pencemaran mendapati keadaan air sungai serta bacaan pengukuran alat YSI menunjukkan bacaan adalah normal.
“Pasukan penyiasat JAS juga mendapati tiada bau yang mencurigakan dari sungai berkenaan ketika siasatan dijalankan.
“Dalam pada itu, pasukan penyiasat juga berjumpa dengan ketua Kampung Gedok di lokasi sungai dan beliau juga mengesahkan bahawa air sungai adalah normal.
“Selain itu, pasukan penyiasat juga menuju ke premis KKS Gedok Mas (lokasi yang disyaki) mendapati kilang tidak beroperasi dan tiada pelepasan efluen ke alur air,” kata Veerapan.
Menurut Veerapan, pasukan penyiasat JASNS Cawangan Kuala Pilah memutuskan bahawa pemantauan secara berkala dari semasa ke semasa akan dijalankan di lokasi tersebut.
“Saya mengambil maklum perkembangan ini serta ingin mengingatkan semua pihak supaya berwaspada dengan pencemaran alam sekitar khususnya sungai yang menjadi punca air bagi penggunaan semua pihak.
“Pihak kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu alam sekitar serta tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) jika disabitkan kesalahan,” ujar Veerapan.