Berita

Pengguna belum sedar keperluan guna aplikasi ecoss untuk beli minyak masak subsidi

SEREMBAN: Masih ramai pengguna belum mengetahui keperluan mendaftar dan menggunakan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) bagi pembelian minyak masak peket bersubsidi di premis peruncitan.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam, berkata sistem berkenaan diwujudkan untuk mengawal pembelian barang kawalan tersebut sekali gus mengurangkan ketirisan bekalan subsidi.

“Semasa membuat bayaran di kaunter, pengguna perlu menunjukkan aplikasi eCOSS di telefon bimbit mereka. Buat masa ini kita berada dalam fasa advokasi.

“Walaupun sistem ini telah diperkenalkan sejak Ogos lalu, kita dapati masih ramai pengguna yang tidak mengetahui atau belum memanfaatkannya,” katanya ketika meninjau pelaksanaan eCOSS di sebuah pasar raya di sini, pada Selasa.

Menurut Veerapan, penggunaan aplikasi tersebut membolehkan rekod pembelian minyak masak peket subsidi direkodkan secara teratur bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasaran.

Bagaimanapun, katanya, pengguna yang belum memuat turun aplikasi masih dibenarkan membeli minyak masak bersubsidi, namun perlu mengisi borang manual yang disediakan pasar raya.

Beliau turut menggalakkan setiap premis menyediakan petugas khas untuk membantu pelanggan mendaftar serta memahami cara penggunaan aplikasi berkenaan.

Sementara itu, seorang pengguna, Azhar Zainol, 52, menyambut baik inisiatif kerajaan melalui eCOSS yang dilihat mampu mengurangkan ketirisan pembelian barang kawalan.

Namun beliau berpandangan, hebahan mengenai aplikasi itu perlu dipertingkatkan kerana ramai orang awam masih tidak mengetahui keperluannya.

“Saya sendiri baru tahu hari ini yang pembelian minyak masak subsidi memerlukan eCOSS. Langkah ini bagus, cuma wajar diperluaskan lagi pemaklumannya, terutama kepada warga emas,” katanya.

Azhar yang bekerja sendiri mengakui sistem tersebut mungkin disalah anggap sebagai menyusahkan pada peringkat awal, tetapi berkesan memastikan pembelian minyak bersubsidi tidak disalahgunakan, khususnya oleh warga asing.

Show More

Related Articles

Back to top button