Berita

Pengikut ajaran sesat dipenjara

SEREMBAN: Seorang pengikut ajaran sesat The Ahmadi Religion of Light and Peace dipenjara enam bulan dan didenda oleh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengajar ajaran salah dua minggu lalu.

Tertuduh, Zolekafeli Abd Ghani dijatuhi hukuman setelah didakwa mengajar ajaran salah kepada anak lelakinya berusia 30 tahun yang berlawanan hukum syarak dengan menyatakan Abdullah Hashim adalah imam Mahdi ketiga dan mendakwa ajaran itu sebagai roh Allah yang ada pada Abdullah Hashim.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan menyatakan Al-Quran ditokok-tambah oleh Saidina Umar dan kahwin antara adik-beradik dibenarkan dengan syarat dilakukan secara biologi dan bukannya roh.

Semua kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Taman Ampangan antara jam 2 petang hingga jam 4.40 petang pada 12 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Pendakwa Syarie, Azizudin Abdullah Halim dan Zarul Izham Jaafar dalam hujahan mahkamah pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pernah mengeluarkan kenyataan supaya masyarakat berwaspada dengan ajaran berkenaan.

“Kesalahan tertuduh sangat serius kerana membabitkan akidah dan boleh menyebabkan murtad, syirik dan kufur,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button