SEREMBAN: Tindakan pemegang lesen perniagaan (peniaga/pembekal termasuk pasaraya, kedai runcit, restoren dan penjaja) yang membekalkan plastik sekali guna, plastic OXO-Degradable dan Photo-Degradable; merupakan satu kesalahan dan melanggar syarat lesen.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat lesen ini.
“Suka diingatkan bahawa pelanggaran syarat ini boleh membawa kepada pembatalan lesen perniagaan oleh pihak PBT.
“Bagi larangan bekas makanan jenis polisterina, pemegang lesen wajib menggantikannya dengan bekas makanan jenis kertas, biodegradasi atau bekas plastik LDP – Low Density Polyethylene dan PP5 (Polyproplene).
“Premis perniagaan tidak perlu menyediakan straw/penyedut minuman kecuali atas permintaan atau menggantikannya dengan menyediakan straw/penyedut minuman dari jenis selain plastik,” jelas Arul Kumar.
Menurut Arul Kumar, semua PBT telahpun menjalankan kempen kesedaran dan pemakluman yang jelas melalui hebahan di media sosial, bunting, billboard dan kaedah-kaedah lain yang bersesuaian sejak 1 Oktober 2022 sehingga 30 April 2023.
“Manakala tarikh kuatkuasa ‘Larangan Penggunaan Beg Plastik Sekali Guna Dan Polisterina dan Penggunaan Penyedut Minuman Atas Permintaan’ di setiap PBT seluruh Negeri Sembilan (kecuali MBS) bermula pada 01 Mei 2023. Manakala MBS bermula 01 April 2022.
“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Sembilan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada beberapa pemegang lesen yang telahpun berjaya melaksanakan arahan ini dan antaranya Pasaraya AEON, Jaya Grocer, Giant, Lotus, Mydin, MyNEWS dan 99 Speedmart (semua cawangan) serta beberapa peniagaan francais.
“Diharap pemegang-pemegang lesen lain akan melaksanakan arahan ini dengan sesegera mungkin kerana setiap PBT telah mula melaksanakan penguatkuasaan secara lebih agresif.
“Satu tempoh yang panjang telah diberikan kepada setiap pemegang lesen bagi tujuan peralihan,” kata Arul Kumar.