BeritaMenarik

Perbezaan pendapat jangan dibiarkan jadi punca perpecahan

KLANG: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Dato’ Seri Mohamad Sabu berkata, setiap ahli dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) ada cara tersendiri dalam melaksanakan tanggungjawab dan sebagai sebuah keluarga besar, perlu meraikan kepelbagaian ini.

“Inilah kekuatan AMANAH, kerana ia mencerminkan semangat kolektif dan inklusiviti yang menjadi tunjang kepada perjuangan parti ini.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa perbezaan pandangan adalah lumrah dalam mana-mana organisasi, lebih-lebih lagi dalam sebuah parti politik.

“Perbezaan ini bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya ia perlu diraikan.

“Namun, dalam meraikan perbezaan ini, kita jangan sesekali membiarkan ia menjadi punca kepada perpecahan.

“Keutuhan parti kita adalah asas kepada kejayaan kita bersama,” kata beliau.

Mohamad berkata demikian di Konvensyen Nasional 2024 di Hotel KSL Esplanade, Klang baru-baru ini.

Menurut Mohamad lagi, menuju Pilihan Raya Umum yang akan datang, ahli parti perlu mula bekerja keras dari sekarang untuk memastikan sokongan akar umbi kepada parti terus kukuh.

“Jangan hanya bergantung kepada keputusan hari ini, tetapi rancanglah untuk masa depan.

“Setiap daripada kita memainkan peranan penting dalam memastikan AMANAH terus relevan dan diterima oleh rakyat.

“Saya yakin Kerajaan Perpaduan ini akan kekal untuk penggal yang akan datang.

“Ini hanya akan menjadi kenyataan jika kita semua bekerja sebagai satu pasukan, bersama-sama mendukung semangat perpaduan dan mengutamakan kepentingan rakyat.

“Akhir sekali, saya menyeru kepada seluruh ahli AMANAH, marilah kita sama-sama terus berjuang dengan penuh semangat dan dedikasi.

“Insya-Allah, usaha kita akan diberkati dan perjuangan kita akan membuahkan hasil yang baik,” ujar Mohamad lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button