BeritaMenarik

Perpatih Fest 2024 cipta rekod pemakaian telepok paling ramai

NILAI: Perpatih Fest 2024 mencipta rekod baharu Pemakaian Telepok Paling Ramai menerusi The Malaysia Book of Record (MBOR).

Acara ‘Moh Bertelepok’ yang diadakan sempena perasmian Perpatih Fest 2024 Di Dataran Nilai ini, berjaya menarik penyertaan seramai 1,002 Wanita.

Aksesori ikatan kain batik tradisional itu kebiasaannya dipakai wanita Negeri Sembilan suatu masa dahulu dan kini dilihat sebagai salah satu pakaian rasmi bagi Ibu Soko yang merupakan salah satu cabang pemimpin masyarakat di bawah sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan..

Ini rekod ketiga yang dipecahkan di Perpatih Fest selepas MBOR mengiktiraf dua rekod iaitu Masakan Kari Kepala Kambing Terbanyak (100 kepala) dan Perarakan Panta Berkucung Terbanyak (222) pada penganjuran tahun lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, dengan tema ‘Adat Yang Diuco Pakai’, Perpatih Fest kali ini yang diadakan serentak dengan NS Fest menganjurkan pelbagai aktiviti seperti Syarahan Negeri, Forum Perdana Ehwal Islam, Demontrasi Masakan Luak, Demonstrasi Peralatan Adat Luak, Persembahan Kebudayaan dan Kesenian Luak, Masakan Masyarakat Cina, India dan Orang Asli, Pameran Luak, Jualan Masakan Tradisi Luak, Jualan Produk Tradisional Luak dan Pertandingan Mewarna.

“Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita sebagai manusia tidak dapat menolak arus permodenan yang berlaku dengan pesatnya pada setiap hari.

“Namun kita tidak boleh membiarkan warisan peninggalan yang diwarisi oleh datuk nenek moyang kita iaitu Adat Perpatih hanyut dibawa arus kemajuan.

“Oleh yang demikian maka Kerajaan Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif dengan menyalurkan Dana Memperkasakan Adat Perpatih melalui Lembaga Muzium Negeri Sembilan sejak 2019 untuk Luak dan Wilayah Adat menjalankan program dan aktiviti.

“Semenjak dana khusus ini diperkenalkan hampir 300 lebih program dan aktiviti yang telah dijalankan berdasarkan kepada empat teras utama dalam Adat Perpatih iaitu Kepimpinan, Persempadanan, Olek dan Keilmuan,” jelas Aminuddin dalam ucapan perasmian Perpatih Fest.

 

Show More

Related Articles

Back to top button