Peruntukan RM200 juta laksana Dasar Gaji Progresif, beri manfaat kepada 50,000 pekerja

SEREMBAN: Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2025 telah memperuntukkan RM200 juta bagi menyokong pelaksanaan penuh Dasar Gaji Progresif pada tahun 2025 yang akan memanfaatkan seramai 50,000 pekerja.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam berkata, peningkatan pendapatan perlu selaras dengan produktiviti dalam memastikan tahap kualiti yang lebih baik bagi mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Projek rintis Dasar Gaji Progresif telah dilaksanakan pada Jun 2024 hingga Ogos 2024,” katanya.
Veerapan berkata demikian di ucapan perasmian Program Jerayawara Dasar Gaji Progresif Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2025 di Klana Resort, Seremban.
Dalam pada itu, Veerapan merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia amnya dan JTK Negeri Sembilan khususnya sebagai penyelaras dan tuan rumah bersama Kementerian Ekonomi yang merupakan Peneraju Utama Dasar Gaji Progresif (DGP) serta agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Difahamkan seramai 200 peserta telah dihimpunkan dalam waktu yang singkat.
“Program Jerayawara DGP merupakan inisiatif kerajaan dalam memberikan pendedahan dan penjelasan kepada semua majikan, pekerja serta kesatuan pekerja dan majikan.
“Dengan platform ini, majikan dan pekerja dapat bersama-sama memberi pandangan serta buah fikiran dalam membantu mewujudkan satu iklim ekonomi serta hubungan industri yang harmoni di dalam negara.
“Sedia maklum, Dasar Gaji Progresif merupakan satu anjakan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12).
“Saya juga berharap program-program sebegini dapat diteruskan untuk menyebar luas manfaat Dasar Gaji Progresif agar kesemua pihak yang ada di kalangan pemain industri mendapat faedah,” jelas Veerapan.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan, Roslan Bahari.