PLUS Jangka 2.2 Juta Kenderaan Sehari Sempena Cuti Akhir Tahun
KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik di rangkaian lebuh raya kendaliannya akan meningkat sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak iaitu pada 19, 20, 22, 23, 24, 26, 27 Disember 2025 dan 2 Januari 2026 bersempena musim cuti persekolahan akhir tahun, perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2026.
Sehubungan itu, PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA bagi memastikan kelancaran pergerakan di lebuh raya.
Bagi menguruskan peningkatan jumlah kenderaan, PLUS akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 30 lokasi tumpuan trafik bagi membantu melancarkan aliran trafik sepanjang musim percutian dan perayaan ini.
PLUS turut menyarankan pengguna lebuh raya menggunakan aplikasi navigasi seperti PLUS, Waze atau Google Maps bagi membantu merancang dan mendapatkan pelan perjalanan yang lebih teratur sepanjang musim perayaan ini.



