Berita

Port Dickson tarikan utama pelancong menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memberi tumpuan terhadap pembangunan sektor pelancongan sukan (Sport Tourism) sebagai salah satu pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri serta usaha memperkukuh promosi imej Negeri Sembilan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Dato’ Mustapha Nagoor (BN) berkata, sepanjang tahun 2025, pelbagai program dan acara sukan berimpak tinggi telah dilaksanakan di seluruh negeri termasuk di Port Dickson sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

“Antara program utama yang telah dianjurkan ialah Negeri Sembilan Forest Orienteering Cup 2025 di PD Forest @ Sungai Menyala, Port Dickson, yang berjaya menarik penyertaan antarabangsa melibatkan 154 peserta daripada sembilan buah negara.

“Selain itu, NS7WONDERS Challenge 2.0 (2025) turut dianjurkan sebagai program larian denai dan pendakian di beberapa lokasi ikonik seperti Bukit Bosar Bayai, Gunung Berembun dan Bukit Ramunia, dengan penyertaan melebihi 1,500 peserta bagi setiap siri.

“Program ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah memperkenalkan destinasi pelancongan baharu di negeri ini,” ujar beliau.

Menurut Mustapha lagi, Kejohanan Lawan Pedang Negeri Sembilan (NSYC 2025) di Seremban yang melibatkan lebih 500 peserta daripada 39 pasukan tempatan dan antarabangsa pula telah membuka peluang baharu menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab sukan lawan pedang di rantau ini.

“Selain program bertaraf antarabangsa tersebut, Hari Sukan Negara 2025 Peringkat Negeri Sembilan turut dianjurkan secara besar-besaran pada 11 Oktober 2025 di D’Tempat Country Club, Bandar Seri Sendayan, dengan pelbagai aktiviti komuniti seperti larian, kayuhan dan sukan rakyat bagi menggalakkan penyertaan masyarakat terhadap gaya hidup aktif.

“Bagi kawasan Port Dickson khususnya, pelbagai acara pelancongan sukan telah dilaksanakan sepanjang tahun 2025, antaranya:

1. PD 2KM OWS Classic — 18 Januari 2025
2. Port Dickson Triathlon 2025 — 3 & 4 Mei 2025
3. Negeri Sembilan Forest Orienteering Cup 2025 — 31 Mei – 1 Jun 2025
4. Negeri Sembilan 7 Wonders 2.0 HSN 2025 — 12 Julai 2025
5. Fun Run 13KM Tahun 2025 — 7 Ogos 2025
6. Sungai Menyala Forest Trail 2025 — 9 – 10 Ogos 2025
7. BWF Asia Pacific AirBadminton Championship — 8 – 10 Ogos 2025
8. Cabaran Ombak & Eksplorasi Port Dickson 2025 — 23 & 24 Ogos 2025
9. 3rd Malaysia National & Merdeka Fest Open Water Swimming Championship — 30 & 31 Ogos 2025
10. PD Golf ASEAN 2025 — 6 September 2025
11. Petronas Le Tour de Langkawi Malaysia 2025 — 3 Oktober 2025

“Bagi kawasan Kuala Pilah pula, kita juga mengadakan Angsi Forest Challenge yang telah mencatat hampir 1,000 penyertaan daripada 12 negara, termasuk Indonesia, Singapura, India dan United Kingdom.

“Selain itu, beberapa program tambahan turut dalam perancangan, antaranya Port Dickson Amphibian Race (9 November 2025), Larian Army Half Marathon (15 atau 22 November 2025) dan Port Dickson Surfcasting 2025 (7 Disember 2025),” jelas Mustapha.

Mustapha tambah, penganjuran acara-acara ini bukan sahaja meningkatkan penyertaan atlet dan pelancong sukan, malah menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan kehadiran pelancong, penggunaan kemudahan pelancongan dan penglibatan komuniti dalam keusahawanan serta perkhidmatan sokongan.

Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan khas bagi projek pelancongan dan warisan bagi menyokong pelaksanaan program sukan berimpak tinggi serta komited memperkukuh pembangunan pelancongan sukan secara berterusan agar Port Dickson terus muncul sebagai destinasi sport tourism utama di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Selain penganjuran acara, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) turut melaksanakan pelbagai usaha strategik dalam dan luar negara bagi memperkukuh potensi pelancongan sukan di Port Dickson.

A. Usaha Dalam Negara

1. Penyediaan Kalendar Acara Sukan Tahunan Berfokus Pantai

Menganjurkan acara sukan seperti triathlon, larian pantai, bola tampar pantai dan sukan air secara berterusan bagi memastikan Port Dickson kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong sukan sepanjang tahun.

2. Penambahbaikan Infrastruktur dan Fasiliti Sukan Pantai

Penaiktarafan kemudahan asas, kawasan pantai, fasiliti keselamatan serta sokongan teknikal bagi memenuhi keperluan penganjuran acara bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

3. Pembangunan Komuniti dan Tenaga Kerja Tempatan

Memberi latihan kepada sukarelawan, jurulatih dan pengusaha tempatan dalam bidang sukan serta pelancongan bagi memastikan manfaat ekonomi diagihkan secara inklusif kepada masyarakat setempat.

B. Usaha Luar Negara

1. Program Tarikan Acara Sukan Antarabangsa (Sport Attraction)

Mengadaptasi model kejayaan Gold Coast dengan menarik penganjur dan pasukan antarabangsa untuk menjadikan Port Dickson sebagai destinasi pilihan bagi kejohanan dan latihan pra-musim.

2. Kerjasama Promosi dan Jaringan Luar Negara

Menjalin hubungan strategik bersama badan sukan antarabangsa bagi membawa masuk lebih banyak acara berimpak tinggi ke Port Dickson serta memperluas capaian promosi destinasi sukan negeri.

3. Perancangan Warisan Acara (Legacy Planning)

“Setiap acara dirangka agar meninggalkan kesan jangka panjang melalui pembangunan infrastruktur dan fasiliti sukan yang dapat digunakan oleh komuniti serta pelancong selepas acara tamat.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menekankan strategi pemasaran antarabangsa dengan memberi fokus kepada pasaran serantau seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, serta pasaran antarabangsa seperti Eropah dan Timur Tengah yang menunjukkan minat tinggi terhadap aktiviti sukan pantai dan pengembaraan.

“Bagi menambah nilai kepada pengalaman pelancong sukan, Port Dickson juga dirancang untuk memperkenalkan konsep ‘after-sport wellness’ melalui penyediaan pusat spa, rawatan fisioterapi dan program kesihatan yang menekankan keseimbangan antara aktiviti sukan dan rekreasi.

“Kerajaan Negeri akan terus komited memastikan pembangunan pelancongan sukan di Port Dickson dilaksanakan secara mampan, berimpak tinggi dan memberi manfaat berterusan kepada komuniti tempatan serta ekonomi Negeri Sembilan secara keseluruhannya,” kata Mustapha.

Mustapha berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran (PH) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.

Rajasekaran bertanya apakah program Sport Tourism yang telah diusahakan dan dalam perancangan oleh kerajaan negeri?

Beliau turut bertanya apakah usaha dalam dan luar negara untuk meningkatkan potensi Sport Tourism di Port Dickson?

 

Show More

Related Articles

Back to top button