LONDON: Kunjungan delegasi Malaysia ke United Kingdom (UK) telah mencapai hasil memberangsangkan apabila kedua-dua negara sepakat untuk mempertingkat kerjasama Malaysia-UK ke tahap Perkongsian Strategik.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan beliau dengan wakil-wakil industri terkemuka turut membuahkan hasil apabila berjaya meraih potensi pelaburan dan eksport berjumlah RM11.5 bilion.
“Saya bertemu 31 wakil kapten industri dan syarikat terkemuka United Kingdom daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan, perbankan, farmaseutikal, automatif, pendidikan, tenaga boleh baharu dan pertahanan.
“Potensi pelaburan RM11 bilion adalah dalam sektor tenaga boleh baharu, ekonomi digital, automatif, perbankan, hartanah dan petrokimia.
“Dalam pada itu, potensi eksport RM500 juta dijana dalam tempoh lima tahun akan datang dalam sektor produk peralatan dan komponen pesawat, perabot serta makanan dan minuman.
“Semoga hubungan persahabatan Malaysia-United Kingdom terus erat dan membawa kemakmuran buat rakyat.
“Ayuh delegasi Malaysia, kita terus bekerja,” kata Anwar semasa lawatan kerja ke United Kingdom.
Sementara itu, Anwar juga berkesempatan menyantuni diaspora Malaysia di London.
“Saya sempat bertegur sapa, bertukar pandangan isu semasa.
“Sewaktu sesi soal jawab, saya maklumkan bahawa pelabur global secara berterusan mengiktiraf penguasaan teknologi yang ada di negara kita malah terus membuat pelaburan selepas bertahun-tahun menjalankan perniagaan mereka di Malaysia.
“Justeru, semua pihak termasuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara tidak seharusnya memandang rendah terhadap kemajuan teknologi, kepakaran dan bakat yang ada di tanah air,” jelas Anwar.
Anwar berada di London bagi mengadakan lawatan kerja selama lima hari atas jemputan rakan sejawat, Keir Starmer.
Lawatan ini dijangka akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai bidang khususnya United Kingdom (UK) adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Eropah.
“Saya percaya, lawatan ini juga akan memberikan nafas baharu kepada hubungan dua negara selepas Keir Starmer memegang jawatan Perdana Menteri sejak Julai 2024,” ulas Anwar.