Berita

Program Bimbingan UPU dan TVET perkasa pelajar lepasan SPM rancang masa depan

REPAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, Veerapan Superamaniam, telah meluangkan masa menghadiri Program Bimbingan UPU dan UP_TVET @ Tampin yang berlangsung dengan lancar, melibatkan penyertaan seramai 50 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama ibu bapa dari sekitar kawasan Tampin.

Program berkenaan dianjurkan bagi memberikan pendedahan serta panduan kepada para pelajar mengenai peluang melanjutkan pengajian sama ada melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU) mahupun pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Menurut Veerapan, inisiatif seperti ini penting dalam membantu pelajar membuat keputusan tepat berkaitan masa depan pendidikan dan kerjaya mereka.

“Program ini bukan sahaja memberi maklumat berkaitan laluan pendidikan, malah membantu pelajar memahami kepentingan kemahiran teknikal serta hala tuju kerjaya yang bersesuaian dengan kehendak industri masa kini.

“Sesi bimbingan yang dijalankan turut menampilkan penerangan terperinci berhubung pemilihan kursus, perancangan kerjaya serta kepentingan penguasaan kemahiran teknikal dalam membina masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, termasuk penganjur, fasilitator dan peserta yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang pelaksanaannya.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini.

“Diharapkan segala ilmu dan perkongsian yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar.

“Program seumpama ini dilihat mampu memainkan peranan penting dalam memperkasa generasi muda dengan maklumat dan kemahiran yang relevan, selari dengan keperluan pembangunan negara,” tambah beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button