Tempat menunggu bas SMK Seremban Jaya telah rasmi digunakan

RASAH: Tempat menunggu bas di depan pintu Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban Jaya telah rasmi digunakan bagi kemudahan ibu bapa dan penjaga yang menunggu anak-anak mereka di sekolah berkenaan.
Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, perasmian itu sebenarnya hanya gimik memandangkan kemudahan tersebut telah mula digunakan sejak kira-kira tujuh bulan lalu.
“Tempat menunggu itu telah dibina sekitar Oktober 2025 dengan kos sebanyak RM23,200 yang dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan Ahli Parlimen Rasah bagi tahun 2025.
“Pembinaan kemudahan tersebut adalah hasil permintaan daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seremban Jaya bagi memberi keselesaan kepada ibu bapa yang sebelum ini terpaksa berdiri menunggu dalam keadaan panas atau hujan.
“Sebaik menerima permintaan daripada PIBG, saya terus bersetuju dengan cadangan ini dan pembinaan tempat menunggu ini berjaya disiapkan tidak lama selepas itu,” katanya.
Beliau berkata, kebiasaannya peruntukan yang disalurkan kepada sekolah lebih tertumpu kepada keperluan murid dan tenaga pengajar, namun kali ini ia diperluaskan untuk manfaat ibu bapa.
“Sekurang-kurangnya kini mereka mempunyai tempat duduk dan kawasan berteduh sementara menunggu anak-anak pulang dari sekolah.
“Saya berharap kemudahan tersebut dapat memberikan keselesaan kepada semua pengguna serta memberi manfaat berterusan kepada komuniti setempat,” ujaar beliau lagi.



