Projek jalan baharu Nilai – Labu – Bandar Enstek dijangka siap 2027, pacu pertumbuhan MVV

NILAI: Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir telah turun padang meninjau status pembinaan jalan baharu dari Nilai – Labu ke Bandar Enstek yang dilaksanakan di bawah projek Malaysia Vision Valley (MVV).
Projek bernilai RM557.5 juta itu dijangka siap pada suku pertama tahun 2027 dan merupakan antara inisiatif penting Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh jaringan jalan raya ke kawasan MVV serta Seremban Barat.
Menurut beliau, lawatan tersebut bertujuan meningkatkan pemantauan terhadap perkembangan projek bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan menepati jadual yang ditetapkan.
“Apabila akses lebih lancar, ekonomi juga bergerak lebih pantas. Projek ini bukan sekadar pembinaan jalan, tetapi membuka peluang kepada rakyat, pekerja, peniaga dan pelabur,” katanya.
Projek berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna dan komuniti setempat melalui pengurangan kesesakan lalu lintas, perjalanan yang lebih efisien serta akses lebih baik ke kawasan ekonomi utama di Negeri Sembilan.
Dalam masa sama, Akmal Nasrullah menegaskan keperluan semua pihak untuk memperkukuh penyelarasan dan mempercepat tindakan susulan bagi memastikan projek tidak mengalami kelewatan atau peningkatan kos.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam keadaan global yang mencabar, termasuk krisis tenaga dan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat, pelaksanaan projek pembangunan perlu dipercepat dan dilaksanakan secara bersepadu serta pragmatik.
Kerajaan, katanya, akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri, agensi pelaksana, pihak berkuasa teknikal, syarikat utiliti dan kontraktor bagi memastikan projek tersebut disiapkan mengikut jadual.
Lawatan kerja itu mencerminkan komitmen Kementerian Ekonomi dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan secara berkesan, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang menekankan pembangunan mampan, inklusif dan bernilai tinggi.



