Projek Jalan Kampung Orang Asli Sungai Persum siap

JERAM PADANG: Kerja-kerja pembinaan laluan utama ke Kampung Orang Asli Sungai Persum telah siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, jalan utama ke kampung tersebut telah rosak teruk akibat banjir pada tahun lalu.
“Syukur alhamdulillah, kerja-kerja pemulihan kini telah siap sepenuhnya, memberi nafas baharu kepada laluan utama kampung ini demi keselamatan, keselesaan dan kelancaran urusan seharian penduduk.
“Berbeza dengan pelaksanaan terdahulu yang menggunakan kaedah turapan asphalt, jalan kali ini telah dinaik taraf dengan struktur konkrit yang lebih tahan lasak serta sesuai untuk kawasan kampung yang kerap menerima hujan lebat dan banjir kilat.
“Saya percaya, inisiatif ini adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat Orang Asli dan tidak sesekali meminggirkan kampung-kampung pedalaman daripada arus pembangunan.
“Insya Allah, saya akan terus membawa suara dan keperluan komuniti Orang Asli di DUN Jeram Padang ke peringkat yang lebih tinggi agar segala hak dan kebajikan mereka terus terbela,” kata beliau.
Mohd Zaidy juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) serta Pejabat Daerah dan Tanah Jempol atas usaha meluluskan peruntukan baik pulih jalan di Kampung Orang Asli Sungai Persum tersebut.