Rajasekaren tinjau masalah longkang tersumbat

SRI TANJUNG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran telah turun padang meninjau masalah longkang tersumbat dan berbau di Medan Selera Jalan Pasar Lama, .
Lawatan berkenaan turut disertai wakil Bahagian Kejuruteraan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) serta Area Officer bagi melihat sendiri keadaan saliran yang menimbulkan ketidakselesaan kepada peniaga dan orang awam.
Rajasekaren berkata, hasil tinjauan mendapati longkang utama di kawasan tersebut tersumbat dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan, dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa makanan terus ke dalam saliran.
“Susulan itu, pihak MPPD memaklumkan kerja-kerja pembaikpulihan longkang utama akan dilaksanakan bermula minggu hadapan bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Saya juga ingin menasihatkan para peniaga supaya tidak melepaskan sisa makanan ke dalam longkang kerana ia boleh menyebabkan saliran tersumbat, pencemaran bau serta menjejaskan kesihatan dan keselamatan persekitaran.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kawasan perniagaan sentiasa bersih dan selamat, sekali gus mewujudkan persekitaran yang sihat untuk peniaga dan pengunjung Medan Selera Jalan Pasar Lama,” kata Rajasekaren.



