Berita

Resort beroperasi tanpa kebenaran perlu mohon Permohonan Kebenaran Merancang

SEREMBAN: Resort atau chalet yang beroperasi tanpa kebenaran dalam Negeri Sembilan di kawasan berisiko tinggi seperti kawasan bukit, lereng bukit dan beberapa kawasan lain perlu memohon Kebenaran Merancang melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata, hal ini kerana terdapat lebih kurang 50 buah resort atau chalet yang beroperasi di kawasan berisiko tinggi tidak mempunyai permit Kebenaran Merancang.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri bersetuju mengambil langkah untuk melakukan pemutihan ini bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini daripada berlaku.

“Dalam pada itu, semua PBT akan mengeluarkan Notis Permintaan Mengemukakan Kebenaran Merancang (KM) kepada semua operator atau pengusaha resort dan chalet yang dikenal pasti berada dalam kawasan berisiko bermula sekarang.

“Sekiranya pengusaha enggan mengemukakan permohonan dalam masa yang ditetapkan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh PBT masing-masing.

“Perkara sama pernah dilakukan keatas tapak-tapak perkhemahan di Negeri Sembilan dimana tapak perkhemahan yang tidak mengemukakan sebarang permohonan kepada PBT sebelum 31 Disember ini akan diambil tindakan penguatkuasaan termasuk menyita premis tersebut.

“Tindakan yang lebih tegas seperti ini perlu diambil untuk memastikan setiap premis yang dikunjungi oleh orang awam sentiasa selamat dan tidak menyebabkan sebarang insiden berulang lagi,” kata Arul Kumar.

Show More

Related Articles

Back to top button