Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri 7 Februari ini

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri pada 7 Februari ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sambutan akan diadakan di Dewan The Grand Lukut, Port Dickson.
“Ia akan bermula pada jam 8:00 malam hingga 10:00 malam.
“Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir juga turut mencemar duli untuk hadir ke majlis tersebut.
“Pelbagai tarian kebudayaan akan ditayangkan seperti tarian naga dan singa.
“Selain itu, orang ramai yang hadir juga boleh menikmati pelbagai jenis hidangan tempatan seperti satay, dim sum, cendol, aiskrim dan banyak lagi,” kata Aminuddin.
Dalam pada itu, Aminuddin juga turut menjemput umat Islam untuk hadir ke Masjid Negeri pada 23 Januari (Khamis) bagi sambutan ISrak Mikraj di Masjid Negeri.
“Majlis akan bermula pada jam 6:00 petang.
“Selepas solat Maghrib akan diadakan ceramah yang bertajuk Israk Mikraj Anugerah Ilahi.
“Ceramah akan disampaikan oleh Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, Naib Canselor Universiti Islam Selangor,” tambah beliau.