SARA mula disalurkan hari ini

PUTRAJAYA: Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan mula disalurkan pada hari ini kepada golongan miskin dan miskin tegar menerusi MyKad.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, SARA akan memberi manfaat kepada 700,000 penerima dengan jumlah yang diterima adalah sebanyak RM2,100 setahun.
“Pertambahan hasil negara adalah kesan reformasi kewangan dan kerja keras Kerajaan MADANI yang memungkinkan kadar SARA ditingkatkan daripada RM1,200 setahun kepada RM2,100 tahun ini.
“Penambahbaikan kepada SARA ini juga adalah sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah iaitu RM13 billion berbanding RM10 billion pada tahun lalu.
“Kerajaan MADANI akan terus bekerja keras bagi membolehkan lebih banyak hasil negara dikongsikan kepada mereka yang memerlukan.
“Ini selaras dengan nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras dalam MADANI,” kata Anwar.