BeritaMenarik

Negeri Sembilan promosi keunikan Adat Perpatih, jadi acara tahunan

SEREMBAN: Perpatih Fest akan dijadikan sebagai acara tahunan Kerajaan Negeri Sembilan bagi mempromosikan keunikan sistem Adat Perpatih kepada pihak luar luar khususnya generasi muda.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi inisiatif Perpatih Fest 2023 dalam Belanjawan 2023 Negeri Sembilan.

“Saya merasakan Perpatih Fest perlu diadakan setiap tahun, mungkin di daerah-daerah lain supaya masyarakat di sana lebih dekat dan merasa sendiri keunikan Adat Perpatih.

“Perpatih Fest ini bakal memberi pengalaman gastronomi kepada pengunjung melalui program promosi makanan Negeri Sembilan dan bakal memberi pengalaman yang unik kepada pengunjung untuk mencuba permainan tradisi Negeri Sembilan,” katanya dalam Sidang Media selepas merasmikan Perpatih Fest 2023 di Muzium Negeri pada Jumaat.

Dalam majlis sama, dua rekod dicipta dan dicatat dalam Malaysia Book of Records melalui Masakan Kari Kepala Kambing Terbanyak dan Panta dan Jambar Terbanyak.

Sembilan Identiti Negeri Sembilan turut dilancarkan merangkumi adat (Adat Perpatih), seni bina (Rumah Tradisonal Bumbung Panjang), makanan tradisional (gulai kuning).

Busana Negeri Sembilan, bunga (Bunga Lada), permainan tradisional (Dam Harimau dan Gasing Negeri Sembilan, muzik (Caklempong), tarian (Tarian Piring Lambung) dan enam lagu identiti yang telah dilancar pada 12 Februari 2022 yang lalu.

Enam buah lagu tersebut ialah Lambaian Negeri (Dato’ Aishah), Orang Kito (Ito), Pepatih Pepitih (Ewal), Dirgahayu Yang di-Pertuan Besar (Fitri), Nogori (Waris) dan Moh Dogheh (Dato’ Aishah). S

Sementara itu, pelbagai aktiviti disediakan untuk pengunjung di Perpatih Fest seperti Program “Olek Orang Pangka”, Syarahan Negeri bertajuk “Adat Benar”, Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk “Adat Bersendikan Syarak, Syarak Bersendikan Kitabullah”, Segmen Chef Celebriti.

Di samping itu, Konsert Perpatih menampilkan artis-artis seperti Waris, Hakiem Rusli, Amelina, Along Bakar, Nen Tebabo dan Potai Band.

Show More

Related Articles

Back to top button