Berita

Tengku Zamrah komited dekati rakyat menerusi Hari Bertemu Rakyat

AMPANGAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman menegaskan komitmennya untuk terus mendekati rakyat dan menyantuni permasalahan mereka menerusi penganjuran Program Hari Bertemu Rakyat di Pusat Khidmat DUN Ampangan.

Beliau berkata, program berkenaan menjadi medium penting untuk mendengar sendiri keluhan serta keperluan warga Ampangan, di samping menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada golongan sasaran.

“Selepas selesai program di Palm Mall, saya meneruskan komitmen berkhidmat kepada rakyat dengan menghadiri Hari Bertemu Rakyat di Pusat Khidmat DUN Ampangan,” katanya.

Menurut beliau, dalam sesi tersebut, beberapa penerima layak telah menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk Bantuan Khas, Bantuan Khas Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta Bantuan Warga Emas.

“Sesi ini bukan sekadar penyampaian bantuan, tetapi ruang untuk saya mendengar secara langsung permasalahan warga yang hadir bagi mendapatkan panduan dan sokongan sewajarnya.

“Pendekatan turun padang dan berinteraksi secara bersemuka membolehkan setiap isu rakyat ditangani dengan lebih berkesan dan pantas.

“Sebagai ADUN Ampangan, saya kekal komited untuk sentiasa dekat di hati rakyat, mendengar dengan penuh empati dan bertindak dengan segera demi kebajikan serta kesejahteraan warga Ampangan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa tugas sebagai wakil rakyat bukan sekadar memenuhi keperluan pentadbiran, sebaliknya satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.

“Berkhidmat untuk rakyat bukan sekadar tanggungjawab, tetapi satu amanah yang akan terus saya laksanakan dengan dedikasi, prestasi dan keikhlasan,” ujar beliau.

Tambah beliau, program seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan dan perhatian kerajaan negeri sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, khususnya di kawasan DUN Ampangan.

Show More

Related Articles

Back to top button