KDN Perkenal DPP, Perkukuh Pengurusan Pelarian Rohingya – Saifuddin

SEREMBAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mendapatkan data lebih tepat mengenai keberadaan pelarian termasuk etnik Rohingya di negara ini tanpa menjejaskan pendirian kerajaan terhadap aspek keselamatan negara.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian lebih tersusun terhadap isu pelarian yang semakin kompleks susulan perubahan geopolitik dunia.
Menurutnya, kerajaan perlu mengimbangi dua prinsip utama dalam menguruskan isu berkenaan iaitu pertimbangan keselamatan dan kemanusiaan.
“Penyelesaian mesti berasaskan prinsip yang terang iaitu keselamatan dan kemanusiaan.
“Pertimbangan keselamatan bermaksud kita tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan negara kerana ia memberi kesan sosial, ekonomi dan keselamatan dalam negara,” katanya ketika berucap dalam Program Citra Negara: Sekolah Selamat yang berlangsung di Kolej Tingkatan Enam, Tuanku Muhriz.
Tambah Saifuddin, ketika ini UNHCR masih menjalankan fungsi mendaftarkan pelarian dan mencari penempatan di negara ketiga namun proses tersebut semakin mencabar apabila semakin kurang negara bersedia menerima pelarian.
“Di satu sisi, UNHCR terus mendaftar pelarian. Di satu sisi pula, usaha menempatkan mereka ke negara ketiga semakin berkurangan.
“Geopolitik berubah dan keadaan ini sangat tidak baik untuk negara kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata KDN mengambil inisiatif mewujudkan DPP bagi membolehkan kerajaan mempunyai rekod sendiri mengenai pelarian yang berada di Malaysia.
“Kita sendiri nak ada data kita setelah kita lakukan tapisan keselamatan dan kita tahu keberadaan mereka di mana.
“Kalau kita tidak kumpul data, kita tidak tahu keberadaan mereka dan sukar untuk membuat apa-apa keputusan pada masa depan,” katanya.
Menurut beliau, DPP bukanlah laluan untuk memberikan taraf kewarganegaraan kepada pelarian.
“Memberikan mereka DPP bukan bermaksud mereka boleh tinggal selama-lamanya di sini.
“Mereka tetap bertaraf pelarian dan apabila keadaan di negara mereka reda, kita tetap akan hantar mereka pulang.
“Tidak sama sekali DPP merupakan jalan untuk mereka mendapat kewarganegaraan,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata kerajaan akan terus bekerjasama dengan UNHCR dalam menguruskan isu pelarian namun sebarang keputusan akan tetap mengambil kira kepentingan serta kedaulatan negara.
“Kita bertanggungjawab menjaga kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara. Itulah yang sedang saya buat sekarang,” katanya.



