
Kerajaan MADANI menamatkan kawalan harga dan subsidi ayam bermula 1 November 2023 lalu.
Ramai tanya kenapa kerajaan buat begitu?
Bang Mat jawab supaya penjimatan yang diperoleh dapat disalurkan semula ke sektor ternakan secara lebih terancang.
Kita mahu reban ayam yang lama dibuka semula, sistem ternakan dinaik taraf, dan penternak kecil diberi kemudahan pembiayaan.
Matlamatnya adalah untuk meningkatkan pengeluaran ayam negara dan makanan rakyat terjamin.
Bang Mat juga sentuh isu penyasaran semula subsidi telur ayam.
Bermula 1 Mei 2025, subsidi dikurangkan dari RM0.10 ke RM0.05 sebiji, dan akan dihentikan sepenuhnya 1 Ogos 2025.
Ini keputusan berat tapi perlu.
Tindakan ini kita buat selepas melihat kos pengeluaran stabil dan bekalan terjamin, seperti semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Sejak tahun 2022, kerajaan sudah membelanjakan RM2.5 bilion untuk subsidi telur, satu angka besar yang tak mampan jika diteruskan lagi.
Lagi satu, subsidi selama ini turut dinikmati golongan kaya dan warga asing. Tak adil.
Jadi kita salur semula kepada projek yang benar-benar bantu rakyat, selaras dengan nilai MADANI.
Bang Mat faham, tidak semua dasar beri kesan serta-merta.
Tapi dengan hala tuju yang jelas dan pelaksanaan konsisten, Insya Allah hasilnya akan kita tuai bersama.
Segala keputusan dibuat dengan kajian dan pertimbangan yang mendalam.
Dalam pertemuan ini juga, Bang Mat menzahirkan penghargaan kepada para pengamal media yang selama ini menjadi penyampai maklumat, pendidik masyarakat, dan penjaga sempadan kebenaran.
Pengamal media mempunyai peranan besar dalam membina naratif positif, memupuk semangat perpaduan, serta membantu membentuk masyarakat yang matang dan bertanggungjawab.
Bang Mat mahu lihat semua anak bangsa, baik Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua yang ada terus maju dan makmur dalam negara yang sejahtera.
Media juga harus memainkan peranan penting dalam merealisasikan impian ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, makmur dan rakyatnya bersatu hati.
Dato’ Seri Mohamad Sabu (Bang Mat)
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.