UiTM Negeri Sembilan Jalin Kerjasama Strategik di China

KUALA PILAH: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan menerusi inisiatif Malaysia–Global Industrial and Educational Linkage 2025 telah melaksanakan lawatan rasmi ke China bagi memperkukuh hubungan dalam bidang akademik, penyelidikan dan industri.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, UiTM Negeri Sembilan menjelaskan bahawa program anjuran Alliance for Unified Research in Organization, Regulation and Applied Biosciences (AURORA) Collective Team pada 10 hingga 17 September lalu telah membuka jalan kepada termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat rakan strategik.
Antara pihak yang terlibat ialah ARA Halal Certification Services Center Limited, Zhengzhou City, Henan IFEA (M) Sdn. Bhd. International Future of Education Association (IFEA) serta Taiwan Halal Certification Development Co. Ltd (THCD) yang diterajui Ketua Pegawai Operasi, Abdul Razak Nicholas Hsiu.
Berdasarkan kenyataan tersebut, kerjasama ini diyakini akan mewujudkan peluang baharu dalam penyelidikan bersama latihan profesional, pertukaran akademik dan pembangunan industri halal di peringkat antarabangsa.
Delegasi Malaysia turut mengadakan kunjungan rasmi ke Henan University of Animal Husbandry and Economics (HUAHE) serta Zhengzhou E-Commerce Vocational College yang menyaksikan pembentangan akademik daripada wakil Malaysia selain perbincangan potensi kolaborasi penyelidikan dengan pihak tuan rumah.
Program berkenaan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif International Future of Education Association (IFEA), Chloe Chong.
Menurut Ketua Delegasi, Ts. Dr. Aslizah Mohd Aris, lawatan itu mencapai matlamat utama iaitu mempertemukan pihak akademia Malaysia dengan rakan industri dan institusi pendidikan di China.
“Usaha ini bukan sahaja mengeratkan hubungan akademik malah turut membuka ruang luas untuk penyelidikan dan inovasi industri terutama dalam bidang halal bioteknologi serta pembangunan pendidikan bertaraf global,” katanya.