Yayasan Munarah dan SWM Environment santuni 50 pelajar dalam program ‘SWM Kasih Back to School’

SEREMBAN: SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) melalui jalinan kerjasama strategik bersama Yayasan Munarah telah berjaya menganjurkan program ‘SWM Kasih Back to School’ bertempat di Royale Chulan Resort, Seremban bagi menyantuni 50 orang pelajar di bawah naungan yayasan tersebut.
Program ini bertujuan meringankan beban keluarga dalam membuat persediaan persekolahan tahun 2026 serta membuka peluang pendidikan yang lebih saksama bagi pelajar yang memerlukan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Munarah, Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz diiringi oleh Pemegang Amanah Yayasan Munarah, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis ini.
Seluruh warga kerja SWM Environment menjunjung kasih atas limpah perkenan YAM Tunku berdua yang sudi mencemar duli menghadiri program ‘SWM Kasih Back To School’ pada tahun ini.
Keberangkatan YAM Tunku berdua amat bermakna dan menjadi simbol keprihatinan berterusan terhadap kebajikan serta masa depan generasi muda negara.
Pada tahun ini, seramai 50 orang pelajar telah dikenal pasti sebagai penerima sumbangan kelengkapan persekolahan bagi menghadapi sesi pembelajaran baharu tahun akademik 2026.
Setiap sumbangan yang disampaikan bukan sahaja memenuhi keperluan asas, malah menjadi simbol harapan, keyakinan dan dorongan untuk terus menimba ilmu serta membina masa depan yang lebih cerah.

Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong dalam ucapan beliau menekankan bahawa, “Pendidikan merupakan kunci utama yang mampu mengubah kehidupan setiap insan, dan pelaburan terbaik bermula dengan membekalkan ilmu dan peluang kepada anak-anak hari ini.”
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya Yayasan Munarah, atas sokongan dan kerjasama padu dalam menjayakan program ini.
Kerjasama bersama Yayasan Munarah ini amat bermakna dalam memastikan golongan pelajar yang memerlukan tidak tercicir dalam arus pendidikan.
Tambah beliau, program SWM Kasih bukan sahaja menumpukan kepada aspek kebajikan, malah bertujuan membina hubungan erat bersama masyarakat serta menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti setempat.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan sosial dan pendidikan khususnya di negeri-negeri di bawah perkhidmatan SWM Environment.
Tunku Ali Redhauddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas penganjuran inisiatif berkenaan yang disifatkan sebagai satu usaha signifikan dalam meringankan beban serta menyantuni masyarakat Negeri Sembilan yang memerlukan.
SWM Environment juga melihat sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada pelajar yang bersemangat untuk menimba ilmu, sejajar dengan kepercayaan bahawa pendidikan merupakan kunci kepada perubahan ke arah masa depan yang lebih baik dan cemerlang.
Diharapkan sumbangan ini dapat memberi impak positif dan menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka pada masa hadapan.
Sumbangan SWM Kasih Back To School telah disempurnakan oleh Tunku Ali Redhauddin bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif, SWM Environment, Ho De Leong.

MENGENAI SWM ENVIRONMENT SDN BHD
SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) adalah syarikat konsesi yang menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan melalui perjanjian konsesi yang dikawal di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara (Akta 672).
Sebagai syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal terbesar di Malaysia, SWM Environment, disokong oleh tenaga kerja seramai 12,000 orang, berkhidmat kepada 27 pihak berkuasa tempatan, meliputi lebih 1.5 juta premis kediaman dan komersial serta memberi manfaat kepada 5.1 juta penduduk di kawasan seluas 28,500 kilometer persegi.
Skala operasi ini mencerminkan keupayaan SWM Environment sebagai tunjang utama perkhidmatan sisa pepejal negara. Untuk maklumat korporat yang lebih lanjut, sila layari laman web: www.swm-environment.com.
Dalam usaha mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, SWM Environment secara aktif melaksanakan pelbagai program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) berimpak tinggi yang menekankan aspek kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar.
Inisiatif ini merangkumi Pengasingan Sisa Di Punca (SAS), pendigitalan program kitar semula berganjaran dan pengkomposan sisa makanan selaras dengan aspirasi negara ke arah Ekonomi Kitaran (Circular Economy).
Pada tahun 2018, SWM Environment telah memperkenalkan program kitar semula berganjaran iaitu KITARecycle yang dilaksanakan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Program ini bertujuan menggalakkan orang ramai untuk mengasingkan barangan yang boleh dikitar semula seperti kertas, plastik dan tin aluminium dan memperoleh mata ganjaran (RP) yang boleh ditebus kepada tunai melalui perbankan dalam talian.
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi KITARecycle melalui Apple Store dan Google Play Store, atau melayari laman web: www.kitarecycle.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Melalui pendekatan menyeluruh yang berteraskan inovasi, kelestarian dan penglibatan komuniti, SWM Environment komited untuk terus memacu perubahan positif demi persekitaran yang lebih bersih, hijau dan mampan untuk generasi kini dan akan datang.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
Nurul Liza Mohd Najib
Pengurus
Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Kerajaan (Negeri Sembilan & Melaka)
SWM Environment Sdn. Bhd. (Pejabat Wilayah Negeri Sembilan)
Tel : 06 – 6014280/ 012 – 684 7168
E-mel: nurulliza.najib@swmsb.com



