Berita

Aminuddin mohon Kerajaan Persekutuan segerakan pembinaan HTJ 2

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan diminta menyegerakan pembinaan Hospital Tuanku Jaafar 2 (HTJ 2) di Seremban.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, hospital sedia ada, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang beroperasi sejak beberapa dekad lalu, kini menanggung beban pesakit yang melebihi kapasiti dalam keadaan HTJ sedang dinaiktaraf yang mengakibatkan berkurangnya jumlah katil kerana mengikut SOP yang ditetapkan oleh pihak BOMBA.

“Dengan pertambahan populasi dan peningkatan keperluan perkhidmatan kesihatan, projek HTJ 2 amat penting untuk memastikan rakyat Negeri Sembilan mendapat akses kepada rawatan yang cepat, selamat dan berkualiti.

“Pembinaan hospital baharu ini juga akan menambah kapasiti kakitangan perubatan dan sokongan kesihatan, di samping memperkukuh jaringan perkhidmatan kesihatan awam di wilayah tengah,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di sesi perbahasan Belanjawan 2026 di parlimen.

Dalam pada itu, Aminuddin yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson menyentuh pembinaan Hospital Universiti Sains Islam (USIM) di Nilai yang sepatutnya dibina berhampiran dengan Fakulti Perubatan USIM di Negeri Sembilan.

“Kita difahamkan bahawa satu usaha membina untuk Hospital USIM di Johor yang jika difikirkan semula adalah tidak signifikan kerana terlalu jauh dari Fakulti Perubatan USIM dan tidak dapat memenuhi keperluan dan objektif yang ditetapkan.

“Jangan diulang lagi seperti Hospital UIAM di Kuantan sedangkan universitinya di Gombak.

“Justeru, Port Dickson ingin mengajukan persoalan ini kepada kementerian yang berkenaan bagi mempertimbangkan semula Pembinaan Hospital Universiti USIM di Nilai yang telah pun mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan pada awal proses cadangan.

“Kerajaan Negeri Sembilan telah pun menyediakan tapak yang sesuai dan memberikan komitmen untuk membantu kementerian bagi mempersiapkan Hospital Universiti USIM,” jelas beliau.

Aminuddin berkata, projek-projek ini bukan sahaja mencerminkan kesinambungan pembangunan fizikal di Negeri Sembilan, tetapi juga menggambarkan semangat Belanjawan Madani yang mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan holistik, menggabungkan pembangunan spiritual dan sosial dengan kemajuan fizikal dan ekonomi.

“Justeru, Port Dickson amat berharap agar pelaksanaan kedua-dua projek ini disegerakan, dan diberi keutamaan dalam perancangan tahun 2026 agar manfaatnya dapat dirasai seawal mungkin oleh rakyat Negeri Sembilan,” kata Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button