Aminuddin Rasmi Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2025

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun malam tadi merasmikan Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2025 sebuah acara penuh warna-warni yang meraikan perpaduan masyarakat majmuk di negeri ini.
Aminuddin berkata, karnival berkenaan bukan sekadar sambutan kebudayaan tetapi turut menjadi simbol keharmonian dan saling menghormati antara kaum yang menjadi tunjang kekuatan Negeri Sembilan.
“Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa menyokong masyarakat India melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan komuniti, pembangunan pendidikan dan keusahawanan serta penglibatan aktif dalam program kebudayaan dan sosial di seluruh negeri,” katanya.
Menurut beliau, karnival tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, jualan produk komuniti serta aktiviti kekeluargaan yang mencerminkan semangat Malaysia MADANI.
Dalam pada itu, Aminuddin turut menjemput seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk hadir memeriahkan Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 8 November ini di Seremban Jaya.
“Marilah kita terus menyemai semangat perpaduan, keharmonian dan kasih sayang sesama rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.



