Isu bendera terbalik, pekerja OKU terlibat

SEREMBAN: Insiden Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson baru-baru ini bukanlah disengajakan.
Sebaliknya, ia melibatkan seorang pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) yang diberi amanah menaikkan bendera berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, beliau sendiri turun padang bertemu pihak sekolah dan dimaklumkan bahawa pekerja tersebut memasang bendera lama sebelum pulang.
“Dalam masa dua jam selepas diberitahu, bendera terus diturunkan.
“Jadi jangan salah faham dan cepat menghukum.
“Pihak sekolah sudah memohon maaf,” katanya semasa mencelah dalam sidang DUN Negeri Sembilan semalam.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson sebelum ini memohon maaf secara terbuka menerusi kenyataan bersama Lembaga Pengelola, PIBG dan pentadbiran sekolah.
Mereka akui insiden itu berlaku kerana kecuaian, bukan berniat jahat.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin turut mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan dan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun telah dikenal pasti untuk bantu siasatan.