Tiga agensi utama dalam memperkasakan bidang TVET (Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional) di Negeri Sembilan adalah Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS), Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Sembilan (NSSDC) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).
Merujuk kepada pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar; Kerajaan Negeri melalui KYNS menggalakkan pelbagai kerjasama dengan industri untuk peluang latihan dan penempatan kerja dalam pelbagai bidang seperti berikut:
(a) Bidang Hospitaliti
Pada tahun 2023, KYNS telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan industri perhotelan di Negeri Sembilan seperti Lexis Hibiscus Hotel dan Klana Resort Seremban.
Kerjasama yang merangkumi latihan dan program pembangunan yang berkaitan dengan pelancongan ini bertujuan menyediakan pelajar dengan pengalaman praktikal dan kemahiran langsung yang sesuai dengan keperluan industri hospitaliti, khususnya bagi pelancongan dan pengurusan hotel.
(b) Bidang Automotif
KYNS juga memperkukuhkan hubungan dengan sektor industri automotif sebagai contoh, Perjanjian Persefahaman (MOU) antara KYNS bersama Toyota Laser Motor Group (LMG) dapat membantu untuk memperkasakan bidang automotif di KYNS.
Kerjasama ini memperkasa kebolehpasaran pelajar dan membina rangkaian tenaga kerja berkemahiran tinggi di Negeri Sembilan.
Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar telah memperuntukkan RM5.25 juta insentif kepada KYNS sebagai galakan kepada anak-anak Negeri Sembilan untuk menceburi bidang TVET seperti Geran Pemberian one-off bagi perrmulaan pembelajaran, Pinjaman Boleh Ubah Biasiswa dan Subsidi Kerajaan Negeri Sembilan.
Manakala di peringkat JPNS, Unit TVET telah bekerjasama dalam program ‘Outreach’ dengan Kerajaan Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, Intitusi Pengajian Tinggi, Institusi Latihan Kemahiran, Agensi Swasta dan lain-lain lagi dalam usaha meningkatkan penyertaan pelajar di peringkat Menengah Atas untuk memasuki bidang TVET di peringkat sekolah seperti Karninal TVET Permotoran Parlimen Seremban di SMK Mantin dan lain-lain.
Sekalung tahniah diucapkan kepada Politeknik Port Dickson yang telah diiktiraf sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Asia Pasifik menerusi pengiktirafan Platinum oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) tahun 2023.
Dato’ Ismail Lasim
Exco Pendidikan Negeri Sembilan
Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15.