Kerajaan Negeri sokong karnival pupuk semangat berbilang bangsa
SEREMBAN: Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha seperti Karnival Deepavali bagi memupuk semangat berbilang bangsa dalam negara kita.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, karnival yang dianjurkan itu merupakan satu langkah bagi memupuk keharmonian rakyat melalui pengenalan budaya dan adat masyarakat India kepada semua lapisan masyarakat.
“Selain itu, Karnival Deepavali yang berada di Jalan Dato’ Lee Fong Yee dan Tapak Fun Fair Taman AST ini berjaya menempatkan lebih 200 buah gerai daripada kalangan peniaga tempatan.
“Ini juga merupakan satu usaha untuk membantu peniaga tempatan meraih keuntungan selain daripada kos sewaan yang berpatutan,” kata Aminuddin.
Dalam pada itu, Aminuddin turut menyerahkan sumbangan kepada 35 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
“Sumbangan tersebut merupakan da bantuan daripada Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Seterusnya, adalah bagi membantu anak-anak daripada bangsa India untuk terus melakar kecemerlangan dalam pendidikan dan kembali semula ke negeri ini untuk menyumbang bakti sebagai anak Negeri Sembilan,” ujar beliau.