Malam Sejuta Selawat Ampangan jadi wadah penyatuan ummah

AMPANGAN: Karnival Erat Kasih MADANI 2025 dan Malam Sejuta Selawat (Munajat Ampangan) menjadi platform penting dalam menyatukan ummah, menyemai kasih sayang serta menghidupkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, program yang berlangsung di Dewan Terbuka Taman Dusun Nyior itu dianjurkan sebagai wadah mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai kerohanian di samping memperkukuhkan ukhuwah dalam suasana penuh keberkatan.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan mencerminkan usaha berterusan memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti berteraskan keagamaan dan kebajikan.
“Program ini bukan sahaja menghidupkan suasana kerohanian melalui munajat dan selawat berjemaah, malah menjadi ruang penyatuan ummah merentasi peringkat usia dan latar belakang,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini.
Antara pengisian utama program termasuk munajat dan selawat berjemaah, ceramah serta tausiah, persembahan qasidah, penglibatan sekolah-sekolah dan pusat pengajian tahfiz, selain program kebajikan untuk komuniti setempat.
Program itu turut menampilkan barisan penceramah jemputan iaitu Sheikh Mahmood Al Wasobi dan Maulana Iqbal Zain Al Jauhari, selain persembahan qasidah oleh kumpulan Shoutul Hannan.
Tengku Zamrah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi Surau Al Fatihin Taman Dusun Nyior, sekolah-sekolah serta pusat pengajian tahfiz, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Ampangan, Ampangan Rescue Team serta seluruh penduduk Taman Dusun Nyior yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.
Beliau berharap usaha murni itu diterima sebagai amal soleh, sekali gus dapat mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat serta membawa rahmat dan keberkatan kepada seluruh warga DUN Ampangan.



