Malaysia komited selesaikan isu Laut China Selatan

PARIS: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kekal komited menyelesaikan isu Laut China Selatan secara aman sebagaimana Malaysia lakukan dengan negara jiran lain seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam.
“Rundingan sentiasa jadi keutamaan, bukan ketegangan.
“Namun persoalannya adalah mengapa hanya isu pertikaian dengan China disasarkan?
“Malaysia menyokong usaha ASEAN untuk memuktamadkan Kod Tata Laku, dan China telah beri maklum balas yang positif berhubung perkara ini,” jelas Anwar.
Anwar berkata demikian dalam sesi temu bual bersama media Perancis, France 24 semasa lawatan kerja beliau ke Perancis tempoh hari.
Sementara itu, menjawab soalan France 24, Anwar berkata, beliau tidak bersikap pesimis merujuk kepada hubungan antara Amerika Syarikat dan China.
“Dalam pertemuan dan maklum balas yang saya peroleh, termasuk dari Presiden Rusia, Vladimir Putin, saya berkeyakinan bahawa kedua-dua pihak masih waras dan mahu mengelakkan pertembungan.
“Meski wujud ketegangan geopolitik, khususnya melibat Taiwan, saya percaya ruang diplomasi dan rundingan masih terbuka luas.
“Justeru, kenyataannya jelas bahawa tidak siapa sebenarnya mahu perang.
“Malah, ketika era Trump sekalipun, saya dapati pendekatannya tidak mendorong kepada peperangan terbuka,” ujar Anwar.
Menurut Anwar, ini memperlihatkan bahawa meski retorik politik kadang kala keras, niat pemimpin utama dunia adalah untuk mengekalkan kestabilan dan mengelak bencana serta musibah yang akan merugikan semua pihak.
“Sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya melihat keperluan untuk negara-negara membangun memainkan peranan sebagai suara penimbang tara.
“ASEAN dan negara-negara selatan global harus menjadi wahana untuk memperkukuh diplomasi, bukan medan-medan mempertonjol pengaruh kuasa besar.
“Kita perlu menzahirkan tindakan yang rasional, mengutamakan damai dan mendukung dialog—bukan konflik,” kata Anwar.
Dalam pada itu, dalam wawancara tersebut, Anwar menjelaskan bahawa keterlibatan ASEAN dengan junta Myanmar, dilakukan di bawah mandat ASEAN dan bertujuan untuk mendapatkan gencatan senjata selain memudahkan bantuan kemanusiaan pasca gempa bumi.
“Inisiatif ini telah dibincangkan dan tidak dibantah oleh mana-mana pemimpin ASEAN, lantas mencerminkan anjakan strategik daripada pendekatan ‘tidak berhubung’ sebelum ini yang dilihat kurang membuahkan hasil.
“Langkah ini pastinya demi keamanan dan kestabilan ASEAN untuk masa depan yang lebih baik bersama-sama,” kata Anwar yang juga Pengerusi ASEAN.