BeritaMenarikProgram

Negeri Sembilan bakal laksana ‘fast lane’, pendekkan tempoh kelulusan pemajuan kawasan perindustrian

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan kini sedang dalam gerak kerja bagi memperincikan dan mempertimbangkan pelaksanaan inisiatif fast lane di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat – PH) berkata, inisiatif ini telah diperkenalkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang mana dapat memendekkan tempoh kelulusan pemajuan kawasan perindustrian terancang dari peringkat proses kelulusan kerja awal di tapak, proses kelulusan pelan, proses sokongan kelulusan CCC dan lesen operasi.

“Ia merupakan satu penambahbaikan tadbir urus yang boleh dilaksanakan di Negeri Sembilan.

“Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri Sembilan mendapat kerjasama daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam penyediaan pelan perancangan inisiatif ini.

“Cadangan awal bagi pelaksanan inisiatif fast lane di Negeri Sembilan adalah di peringkat proses pemajuan kawasan perindustrian di Daerah Seremban melibatkan Majlis Bandaraya Seremban,” kata Aminuddin.

Sementara itu, Aminuddin berkata, terdapat satu inisiatif di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) iaitu Akademi dalam Industri (AiI) yang mana merupakan program kolaborasi inovatif di antara industri, akademia dan agensi kerajaan untuk meningkatkan pencapaian pendidikan negara, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing berkemahiran rendah dan mengurangkan jurang ketidakpadanan kemahiran dalam industri.

“Pemantauan inisiatif ini dilaksanakan oleh pemegang taruh (kementerian, agensi, industri dan akademia) melalui pelbagai platform seperti Majlis Produktiviti Negara, PEMUDAH dan lain-lain.

“Kerajaan Negeri juga turut menjalinkan hubungan baik dengan pihak Dewan Perniagaan Antarabangsa seperti Jepun, China, New Zealand dan pihak Kedutaan Antarabangsa.

“Inisiatif ini diambil sebagai salah satu usaha untuk mendekati para pelabur antarabangsa serta platform terbaik dalam mempromosikan peluang pelaburan di Negeri Sembilan.

“Melalui hubungan baik ini juga beberapa siri misi galakan pelaburan telah diadakan dengan kerjasama dewan perniagaan seperti ke China, Jepun dan New Zealand,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan ADUN Rantau, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (BN) dan ADUN Lukut, Choo Ken Hwa (PH) di Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Show More

Related Articles

Back to top button