Berita

Negeri Sembilan jadi tuan rumah Hari Sastera Nasional Ke-20

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan berbesar hati menerima tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi penganjuran Hari Sastera Nasional Ke-20 (HSN20) hasil usahasama dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun berkata Kerajaan Negeri amat menghargai keyakinan GAPENA yang memilih Negeri Sembilan sebagai lokasi pelaksanaan program sastera bertaraf kebangsaan itu.

“Sastera merupakan indikator ketamadunan bangsa yang wajar diraikan menerusi kegiatan yang membina minda dan peradaban.

“Justeru, kami menyambut baik inisiatif GAPENA dan PEN menjadikan Negeri Sembilan sebagai tuan rumah HSN20,” katanya.

Menurut beliau, program tersebut akan menghimpunkan penggiat dan tokoh sastera dari seluruh negara serta luar negara termasuk tokoh ilmuwan seperti Datuk Profesor Ulung Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Datuk Profesor Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Tambahnya, kerajaan negeri turut berharap penganjuran HSN20 mampu memperkukuh jalinan kebudayaan dan mempromosikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan budaya seiring dengan kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

“Semoga HSN20 menjadi gerbang kepada pelbagai aktiviti seni dan budaya yang dapat memperindah imej negeri sekali gus mengangkat maruah bangsa melalui sastera,” kata beliau.

Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada GAPENA dan PEN atas penganjuran HSN20 khususnya kepada pasukan pengelola program serta Dewan Bahasa dan Pustaka yang turut memberi kerjasama erat dalam menjayakan acara ini.

Show More

Related Articles

Back to top button