YB Kita

Negeri Sembilan lulus tapak padang baharu untuk SMK Taman Semarak Nilai

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan tanah seluas kira-kira 1.5 ekar bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Semarak, Nilai sebagai tapak rizab padang bagi kegunaan sekolah tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar berkata, keputusan itu dibuat selepas sekolah berkenaan berdepan masalah ketiadaan padang sekolah sejak hampir 20 tahun lalu.

“Kawasan yang diluluskan itu terletak bersebelahan sekolah sedia ada dan mempunyai akses terus dari kawasan sekolah ke tapak padang berkenaan.

“SMK Taman Semarak Nilai tidak mempunyai padang sekolah hampir 20 tahun.

“Sebab itu Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan tanah ini dirizabkan sebagai padang sekolah,” katanya.

Beliau berkata, selain meluluskan tapak tersebut, Kerajaan Negeri turut mengenakan syarat kepada pemaju servis apartmen di kawasan Bandar Baru Nilai untuk menaik taraf padang berkenaan serta menyediakan beberapa fasiliti tambahan.

“Kerajaan Negeri Sembilan juga telah mensyaratkan kepada pemaju servis apartment di kawasan Bandar Baru Nilai untuk menaiktaraf padang tersebut dan beberapa fasiliti lain termasuk pagar mengelilingi padang tersebut,” katanya lagi.

Tambah beliau, langkah itu akan membolehkan kawasan sekolah sedia ada dan padang baharu tersebut berada dalam satu kompaun yang sama demi keselesaan dan keselamatan warga sekolah.

Show More

Related Articles

Back to top button