SEREMBAN: Kerajaan Perpaduan tidak memandang enteng dalam agenda untuk mengungguli kemajuan dan kemakmuran di perdesaan dalam negara kita.
EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan, YB Dato’ Jalaluddin Alias berkata, ucapan YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah semasa Majlis Amanat Tahun 2024 pada 5 Januari 2024 memberi gambaran yang menyeluruh dan tuntas akan pemfokusan pihak kerajaan untuk tujuan tersebut.
“Sebagai Exco Desa, Perladangan dan Komoditi, saya memberi sepenuh jaminan dan iltizam bahawa negeri ini akan memastikan setiap sudut pandang Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk tahun 2024 disambut baik dan diselarikan dengan penuh cermat.
“Justeru itu, seruan YAB Menteri di dalam tatakelola pengurusan organisasi untuk masyarakat luar bandar melalui akronim ‘KKDW’ akan dijadikan petua terpenting, yakni:
K – Kemahiran dan pengetahuan
K – Keberkesanan dan kecekapan
D – Data dan digital
W – Wow factor
“Negeri Sembilan juga pasti menyesuaikan Program Game-Changer (program susulan) yang diumumkan YAB Menteri dengan agenda Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Desa to Global
Menurut Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu, ia meliputi Desa to Global (D2G) yang bermatlamat mengangkat potensi produk dan perkhidmatan usahawan desa untuk pasaran dalam dan luar negara, Profit Center Thinking yang melaksanakan sesuatu dengan matlamat ‘low cost, high profit’, after sales service (pemantauan secara berterusan), success story on TVET (perkongsian kisah kecemerlangan TVET) dan Halal to Global (H2G) yang menjadikan hub utama industri halal dunia melalui para usahawan di perdesaan kita.
“Saya juga bersetuju dengan buah fikir YAB Menteri yang mahu memperkasakan elemen media (konvensional dan sosial) dan komunikasi, dengan mendamping mereka sebagai rakan yang boleh membantu untuk penceritaan kepada program-program berimpak tinggi terhadap rakyat di luar bandar.
“Pada dasarnya, semua ini sudah pasti selari dengan impian YAB Menteri Besar Negeri Sembilan yang mahu menjadikan negeri kita sebagai ‘Negeri Madani’ khususnya di tahun 2024 ini.
“Semoga kita mampu meletakkan Negeri Sembilan dan Malaysia ke suatu kedudukan yang jauh lebih baik di tahun ini, dan tahun-tahun yang akan datang, Insya-Allah,” kata Jalaluddin yang juga ADUN Pertang.