NS Corp, Sime Darby meterai perjanjian jual beli tanah
SEREMBAN: Perbadanan Negeri Sembilan (NS Corp) dan Kumpulan Sime Darby Berhad (KSDB) telah memeterai satu perjanjian jual beli tanah di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, perjanjian jual beli tersebut melibatkan lebih kurang 1,000 ekar.
“Pembelian tanah ini akan menjadi pendorong kepada pembangunan di kawasan Malaysia Vision valley 2.0 (MVV 2.0) khususnya Parcel B.
“Parcel B dirancang bagi pembangunan perbandaran baharu merangkumi Central Business District (CBD), kawasan perumahan, pusat komersial dan kawasan industri ringan serta sederhana.
“Hal ini kerana kawasannya yang strategik kerana berdekatan dengan Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kita juga merancang akan ada beberapa usaha sama di Parcel berkaitan dapat dimeterai dalam masa terdekat,” kata Aminuddin.