Program kesedaran kanser payudara tarik penyertaan wanita Negeri Sembilan

SEREMBAN: Program Kesedaran Kanser Payudara yang dijadual berlangsung pada 26 November 2025 di Dewan Komuniti Taman Coral Height mengajak wanita seluruh Negeri Sembilan hadir bagi meningkatkan kefahaman mengenai kesihatan wanita dan pentingnya saringan awal.
Program yang bermula jam 8 pagi hingga 2 petang itu dianjurkan bagi memberi pendedahan serta sokongan kepada masyarakat setempat dalam usaha memerangi kanser payudara.
Acara berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti bermanfaat, termasuk forum bersama pakar perubatan yang akan berkongsi maklumat mengenai pencegahan, rawatan dan kepentingan pengesanan awal kanser.
Turut diadakan ialah sesi terapi ketawa bagi membantu peserta mengurangkan tekanan serta meningkatkan kesejahteraan mental.
Selain itu, program ini menawarkan saringan kesihatan percuma serta saringan khusus kanser serviks dan payudara yang diberikan oleh petugas kesihatan bertauliah.
Aktiviti chairobics turut disediakan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan wanita melalui senaman ringan yang menyeronokkan.
Penganjur turut menyediakan cabutan bertuah sebagai tarikan tambahan bagi memeriahkan program komuniti ini.
Orang ramai digalakkan hadir dengan berpakaian serba merah jambu sebagai tanda solidariti dalam menyokong kesedaran kanser wanita.
Penyertaan adalah percuma dan semua wanita dialu-alukan untuk hadir bagi sama-sama memupuk kesedaran, meningkatkan ilmu kesihatan dan menyokong usaha pencegahan kanser dalam komuniti.




