Berita

576 peminjam TUNS Plus tidak bayar balik pinjaman

SEREMBAN: Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata; sehingga 24 Oktober 2025, seramai 576 orang daripada 650 orang peminjam TUNS Plus masih mempunyai tunggakan bernilai RM3,272,249.57.

“Perjanjian melibatkan 127 lagi peminjam telah ditamatkan dan mereka perlu membayar balik keseluruhan bayaran pinjaman,” katanya.

“Dalam pada itu, TUNS Extra pula bantuan pembiayaan dalam bentuk geran padanan (matching grant dengan nisbah 50:50 (had maksimum sehingga RM30,000) mengikut kaedah tuntutan semula (reimbursement).

“TUNS Extra mensasarkan cadangan projek yang mempunyai elemen kreatif, inovatif dan nilai tambah.

“Permohonan diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) serta ia memanfaatkan usahawan memperluas pasaran, meningkatkan jualan dan menjadikan operasi lebih efisien serta membantu peroleh pensijilan seperti Halal, MESTI dan NS Choice,” jelas beliau.

Veerapan tambah, Program NS Choice merupakan inisiatif membantu usahawan tempatan menembusi pasaran nasional dan global.

“NS Choice membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mendapat pengiktirafan kualiti produk mengikut standard SPK oleh SIRIM Berhad.

“Inisiatif ini berbentuk bimbingan dan pemantauan (guidance and monitoring) usahawan dalam tempoh enam ke 12 bulan yang dilaksanakan secara usahasama dengan SIRIM Berhad dan disasarkan kepada usahawan dari kalangan penerima TUNS.

“Sehingga kini, 30 usahawan dikenalpasti melepasi kelayakan dan syarat sepanjang program bimbingan dan telah diberikan pengiktirafan kualiti oleh SIRIM serta layak menggunakan Logo NS Choice ke atas produk.

“Produk usahawan NS Choice telah memasuki pasaran di mana produk-produk ini boleh diperolehi di Astaka PMKS, AEON Nilai serta Program Jelajah Usahawan NS Choice di AEON Shah Alam, Selangor.

“Dipercayai, segala perancangan bagi meningkatkan pendapatan para usahawan Negeri Sembilan mula membuahkan hasil serta Kerajaan Negeri Sembilan komited dalam menguruskan dan menyediakan peluang kepada mereka,” kata Veerapan lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button