BeritaYB Kita

Tampin perhebat kempen larangan plastik sekali guna sokong pelan sifar plastik 2030

TAMPIN: Usaha memperkukuh kesedaran dan penguatkuasaan larangan penggunaan plastik sekali guna terus diperkasa apabila Majlis Perasmian Kempen Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna Peringkat Daerah Tampin 2026 berlangsung di Kompleks Arena Dataran Tampin.

Kempen yang dirasmikan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, menggalakkan penggunaan bahan alternatif mesra alam serta memperkukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, swasta, NGO, peniaga dan komuniti setempat.

Menurut Veerapan, pelaksanaan bebas plastik sekali guna merupakan antara pelan tindakan penting dalam Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018-2030 yang dilancarkan Kerajaan Persekutuan pada 17 Oktober 2018.

“Sejajar dengan itu, Kerajaan Negeri Sembilan menyokong penuh hasrat ke arah sifar plastik sekali guna dengan memperkenalkan produk biodegradasi yang mudah dikompos dan terurai sebagai alternatif lebih lestari.

“Pencemaran akibat beg plastik sekali guna merupakan isu alam sekitar yang serius di Malaysia kerana menyumbang kepada pencemaran tanah dan sumber air, sekali gus memberi kesan kepada kesihatan manusia.

“Justeru itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan telah diarahkan supaya menambah syarat larangan penggunaan beg plastik sekali guna dalam lesen perniagaan serta mencadangkan denda terhadap premis yang gagal mematuhinya.

“Langkah ini bukan sekadar penguatkuasaan, tetapi pendidikan berterusan kepada masyarakat dan peniaga supaya bersama-sama mengubah norma penggunaan harian kepada pilihan yang lebih mesra alam,” kata Veerapan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Tampin serta Majlis Daerah Tampin atas komitmen merealisasikan kempen berkenaan, selain berharap inisiatif itu dapat dimanfaatkan seluruh warga daerah tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button