Berita

Tidak ada dominasi parti dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan

SEREMBAN: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BN Backbenchers), Dato’ Saiful Yazan Sulaiman (Johol) berkata, pelantikan Dr.Jufitri Joha (Keadilan) dan Dato’ Wu Him Ven (DAP) sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) mewakili Negeri Sembilan mencerminkan semangat Kerajaan Perpaduan yang matang, progresif dan inklusif, dengan harapan kedua-dua wakil membawa suara negeri ke peringkat nasional secara berkesan.

Saiful Yazan percaya kedua-dua calon ini telah melalui pertimbangan teliti oleh Kerajaan Negeri dan mereka mewakili aspirasi rakyat pelbagai lapisan di Negeri Sembilan.

“Semangat Kerajaan Perpaduan diterjemahkan dalam bentuk pelantikan yang seimbang dan inklusif.

“Tidak ada dominasi atau satu pihak, sebaliknya yang wujud ialah perkongsian amanah dan tanggungjawab.

“Ini bukan perkara kecil dalam landskap politik Malaysia hari ini yang sering kita terperangkap dalam permainan persepsi dan perpecahan, Negeri Sembilan muncul sebagai model sebenar sebagai mana kerajaan pelbagai parti boleh berfungsi secara harmoni dan berkesan.

“Dewan Negara bukan sahaja platform semak dan imbang tetapi juga ruang untuk memperjuangkan kepentingan negeri-negeri.

“Maka pelantikan ini harus mencerminkan semangat Negeri Sembilan yang progresif dan berpandangan jauh,” kata Saiful Yazan.

Menurut Saiful Yazan lagi, cabaran utama dalam mana-mana kerajaan perpaduan ialah membina dan mengekalkan kepercayaan.

“Tetapi di Negeri Sembilan kita telah menunjukkan bahawa kepercayaan itu bukan sekadar boleh dibina tetapi ia boleh berkembang menjadi kekuatan bersama.

“Saya ingin menegaskan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan bukan gabungan yang dipaksa-paksa.

“Ini adalah hasil kesepakatan jujur dan kompromi antara rakan-rakan politik yang bersedia meletakkan kepentingan rakyat mengatasi agenda politik.

“Pelantikan senator dan timbalan speaker pada Persidangan DUN kali ini membuktikan bahawa nilai-nilai politik (political values) masih hidup di negeri kita.

“Negeri Sembilan menghantar mesej bahawa kita bukan sahaja menyokong Kerajaan Perpaduan dengan slogan tetapi kita komited untuk menyumbang secara aktif kepada kestabilan dan dasar negara,” jelas Saiful Yazan.

ADUN Chennah, Anthony Loke Siew Fook

Sementara itu, ADUN Chennah, Anthony Loke Siew Fook (PH), yang turut bersetuju dengan pandangan tersebut berkata kerjasama politik di negeri ini menjadi model gabungan yang baik tanpa dominasi dalam sebarang jawatan.

“Saya tertarik dengan perbahasan ADUN Johol, cara pengendalian atau cara berpolitik kita di Negeri Sembilan ini mengambil kira faktor inklusif dan perpaduan.

“Ini diterjemahkan dengan cara lantikan-lantikan yang kita dibuat termasuk lantikan Timbalan Speaker (ADUN Lenggeng).

“Ini melambangkan konteks kerjasama politik kita di Negeri Sembilan, yang melambangkan satu model kerajaan perpaduan yang cukup baik.

“Tidak ada mana-mana satu parti yang mendominasi apa-apa jawatan,” ujar Loke.

Loke tambah, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bekerjasama dalam satu pasukan Kerajaan Perpaduan demi kesejahteraan rakyat.

“Ini jauh berbeza dengan cara berpolitik di negeri-negeri lain.

“Kalau lihat model di negeri lain, sebenarnya ia didominasi oleh satu parti sahaja.

“Saya yakin model kerjasama ini atau pun cara kita berpolitik di Negeri Sembilan ini menjadi contoh di seluruh negara.

“Saya harap kedua-dua calon ini nanti akan berusaha sungguh-sungguh membawa insipirasi dan suara negeri ke peringkat Dewan Negara, walaupun berbeza parti tetapi kepentingan Negeri Sembilan perlu diutamakan,” katanya.

Saiful Yazan dan Loke berkata demikian semasa sesi perbahasan Persidangan Kedua, Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban pada 5 Ogos 2025.

Show More

Related Articles

Back to top button