SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir merasmikan Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) di Bandar Enstek.
Tuanku Muhriz bertitah, pelaburan sebanyak RM540 juta itu adalah simbol cita-cita berani DLMI untuk menyuburkan generasi dengan produknya yang berkualiti tinggi, mampan dan disahkan halal serta baginda berharap kemudahan pembuatan baharu itu akan membawa kejayaan dan kemakmuran yang berterusan.
“Bagi pihak rakyat Negeri Sembilan, beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada DLMI pada majlis yang bertuah ini dan menyampaikan penghargaan kami kepada kedua-dua pihak berkepentingan iaitu Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan, yang memberi sokongan padu dan usaha berdedikasi dalam memainkan peranan penting bagi menjayakan projek transformatif ini.
“Ketika kita memulakan era baharu kecemerlangan tenusu melalui DLMI@Enstek, beta penuh yakin terhadap peluang tanpa sempadan yang menanti di hadapan,” titah Tuanku Muhriz.
Sementara itu, EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Jalaluddin Alias yang mewakili Menteri Besar berkata, kemudahan pembuatan ini yang dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun ini disepadukan dengan teknologi Industri 4.0 untuk memenuhi permintaan di pasaran Malaysia dan serantau bagi jangka panjang.
“DLMI yang terletak di hab halal adalah tiga kali ganda lebih besar daripada kemudahan DLMI di Petaling Jaya, Selangor.
“Kilang pembuatan DLMI baharu ini akan meningkatkan daya saing Negeri Sembilan sebagai magnet bagi pelaburan baharu dan seterusnya membantu mewujudkan faedah ekonomi sampingan baharu kepada ekonomi tempatan,” ujar beliau.