Faizal sumbang RM10,500 kepada 21 pelajar cemerlang SPM 2024

LINGGI: Seramai 21 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 menerima insentif kewangan berjumlah RM10,500 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Dato’ Mohd Faizal Ramli.
Mohd Faizal berkata, seramai 21 pelajar cemerlang SPM dari dua buah sekolah iaitu SMK Pasir Panjang dan SMK Datuk Muhammad Yusof Linggi menerima sumbangan RM500 setiap seorang.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua anak-anak, ibu bapa, guru-guru, pengetua-pengetua dan ketua-ketua kampung yang sentiasa memainkan peranan bagi memastikan kejayaan anak-anak.
“Nasihat saya kepada anak-anak supaya terus berusaha dan bila berjaya di masa hadapan, jangan lupa asal usul kita.
“Bantu semula ibu bapa yang telah banyak berkorban dan guru-guru yang sentiasa berusaha untuk dapatkan keputusan cemerlang,” ujar Mohd Faizal.
Mohd Faizal berkata demikian di Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2024 DUN Linggi di Solesor Kampung Beach Resort.