Berita

22 individu dikompaun merokok di kawasan larangan dalam operasi akta 852

SEREMBAN: Seramai 22 individu dikenakan notis kompaun kerana merokok di kawasan larangan dalam satu operasi penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah di beberapa lokasi tumpuan awam sekitar bandar ini semalam.

Operasi bermula jam 10 pagi itu melibatkan kekuatan 12 anggota terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan Kesihatan Persekitaran (PPKPK), sembilan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dan dua Pembantu Kesihatan Awam (PKB).

Sebanyak tiga premis diperiksa termasuk sebuah bangunan hentian pengangkutan awam serta dua kompleks membeli-belah utama.

Antara lokasi terlibat ialah Pasaraya Terminal One dan Stesen Bas Terminal One yang diperiksa dari jam 11 pagi hingga 1.30 tengah hari, diikuti Seremban Gateway dari jam 1.50 tengah hari hingga 2.50 petang.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 22 notis Borang 2 dikeluarkan di bawah Seksyen 47 Akta 852 atas kesalahan merokok di kawasan larangan sebagaimana diperuntukkan di bawah Jadual Perenggan 3.

Daripada jumlah itu, tujuh notis melibatkan kesalahan di bawah Perenggan 3(7) manakala 15 notis lagi di bawah Perenggan 3(15). Tiada notis dikeluarkan bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan merokok.

Selain tindakan penguatkuasaan, pasukan operasi turut melaksanakan pendidikan kesihatan kepada 30 individu bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan mematuhi larangan yang ditetapkan.

Akta 852 yang telah diwartakan pada September 2024 dan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Januari 2025 memperuntukkan tindakan kompaun terhadap individu yang melakukan kesalahan termasuk merokok di kawasan larangan.

Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi kesihatan awam.

Show More

Related Articles

Back to top button