Felda ambil enam langkah hadapi Program Tanam Semula
SEREMBAN: EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Seri Jalaluddin Alias (Pertang-BN) berkata, antara langkah-langkah yang diambil oleh Felda dalam persediaan menghadapi Program Tanam Semula pada masa akan datang ialah:
i. Memfokuskan perancangan dan penyediaan blueprint yang lebih rapi dari segi perancangan kerja tanam semula, keadaan topografi ladang, memperbaiki jalan pertanian dan membuat kawalan musuh penyakit bagi mencapai kos yang optimum untuk peneroka.
ii. Menyediakan kawasan tapak semaian bagi membekalkan keperluan benih berkualiti seperti Yangambi 3 Way di mana benih tersebut mampu memaksimumkan jumlah bilangan pokok dalam 1 hektar (160 pokok per hektar).
iii. Penyediaan fasiliti yang lengkap dan menaiktaraf infrastruktur seperti stor baja dan asrama pekerja.
iv. Bekerjasama bersama rancangan bagi menyelesaikan segala isu yang berkaitan pewarisan.
v. Mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri bagi proses penukaran status tanaman dalam gerah tanah peneroka khususnya bagi Program Tanam Semula Getah ke sawit.
vi. Khusus peneroka sawit, caruman tabung tanam semula telah diwujudkan di mana setiap peneroka akan mencarum sebanyak RM120 setiap bulan melalui potongan pasysheet dan ianya akan digunakan sepenuhnya bagi menampung kos perbelanjaan tanam semula yang akan datang. (Anggaran caruman sebanyak RM28,800 setiap peneroka: RM30 x 4 hektar x 12 bulan x 20 tahun).
Jalaluddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan ADUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali (BN) di Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 pada Isnin.
Jalaluddin berkata, rancangan yang telah menerima kelulusan dan akan terlibat dengan Program Tanam Semula di Felda Wilayah Raja Alias adalah Bukit Rokan Utara (Zon Rokan); Jelai 1, Jelai 3 dan Jelai 4 (Zon Jelai), Palong 1, Palong 2, Palong 4, Palong 6 dan Palong 7 (Zon Palong) dan Lui Timur (Zon Lui).
“Antara insentif yang ditawarkan oleh Felda adalah Insentif Tanam Semula Akan Datang di mana ianya telah ditawarkan kepada peneroka yang tiada hutang dengan FELDA atau hanya menikmati pelupusan hutang tidak melebihi RM5,000.00 (Projek Wajar).
“Nilai asasnya adalah RM10,883.00 per hektar bagi yang bersama FELDA, manakala RM5,442.00 per hektar bagi peneroka mandiri,” jelas Jalaluddin.