SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukkan sejumlah RM500,000 bagi memperbaiki segala kemudahan infrastruktur sukan yang ada di Negeri Sembilan bagi meningkatkan mutu sukan di Negeri Sembilan.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Mustapha Nagoor (BN-Palong) berkata, setiap ADUN-ADUN yang ada boleh memohon peruntukan tersebut bagi memperbaiki kemudahan sukan di tempat masing-masing tidak kira sama ada kemudahan sukan tersebut dibina oleh pihak kerajaan ataupun mana-mana syarikat dan NGO.
“Kerajaan negeri amat menitik beratkan aspek pembangunan sukan dan sangat prihatin terhadap keperluan kemudahan sukan di Negeri Sembilan ini.
“Penyediaan kemudahan sukan untuk kegunaan latihan, riadah dan Latihan kepada para atlet membuat persiapan dalam menyertai mana-mana kejohanan serta menggalakkan penglibatan generasi muda dalam aktiviti kesukanan tidak pernah diabaikan.
“Kerajaan Negeri Sembilan juga akan memastikan infrastruktur sukan yang ada atau pun yang bakal dibina mudah diakses oleh setiap golongan masyarakat di negeri ini.
“Kerajaan Negeri amat menitik beratkan aspek pembudayaan sukan dan gaya hidup sihat dan disebabkan itu sangat prihatin terhadap keperluan kemudahan sukan di Negeri Sembilan ini,” kata Mustapha dalam Ucapan Penggulungan Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-15.